Jul 8, 2009

Konsep kahwin 1Malaysia

Posted by mesrani at 2:54 PM

KUALA LUMPUR: Dalam usaha mengenengahkan kepelbagaian budaya serta adat resam perkahwinan masyarakat tempatan bagi membentuk konsep 1Malaysia, Kompleks Kraf di sini, sekali lagi mengadakan pameran Promosi Kerja Kahwin bertemakan kraf dan perkahwinan yang berlangsung Sabtu lalu hingga 13 Julai ini.

Di samping mempamerkan serta mempromosikan penggunaan produk kraf tempatan sama ada yang lama (tradisional) dan baru (moden) dalam majlis perkahwinan, kompleks kraf juga berhasrat membuka peluang ekonomi kepada usahawan tempatan.

Pameran kali ke-7 yang diadakan bermula jam 10 pagi hingga 8 malam itu menunjukkan peningkatan menggalakkan daripada pengusaha produk perkahwinan terutama barangan berasaskan kraftangan.

Selain itu, melalui pameran ini Kompleks Kraf turut membuka ruang kepada usahawan yang mempunyai potensi dalam menyediakan produk kraf tempatan menonjolkan bakat dan secara tidak langsung memberi peluang kepada mereka untuk lebih berdaya saing dan kreatif dalam mencipta produk baru.

Pelancaran pameran terbabit disempurnakan Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Senator Heng Seai Kie, yang hadir mewakili menterinya, Datuk Seri Dr Rais Yatim di sini, semalam.

Heng berkata, sepanjang tiga tahun penganjurannya jumlah pengusaha yang mengikuti program ini meningkat dan jumlah jualan tunai serta tempahan diperoleh turut menunjukkan kenaikan.

“Tahun lalu, seramai 156 usahawan mengikuti pameran ini dengan perolehan tunai RM2.2 juta berbanding tahun sebelumnya (2007) hanya 61 peserta terbabit dengan jumlah perolehan RM280,000 saja.

“Kini 180 usahawan tampil menyertai pameran ini dan jangkaan jualan tunai yang bakal diterima kali ini RM2.3 juta,” katanya selepas menyelesaikan upacara menepung tawar lapan pasangan pengantin baru pelbagai bangsa sebagai simbolik pelancaran pameran berkenaan.

Antara kaum yang mempersembahkan adat perkahwinan mereka ialah Melayu (masyarakat Minang), Cina, India, Iban, Orang Asli (suku Mahmeri, Pulau Carey), Punjabi serta Kadazan.

“Setiap kaum memiliki cara tersendiri bagi memeriahkan majlis perkahwinan yang diadakan bersesuaian dengan adat serta budaya mereka.

“Ini boleh dijadikan satu cara untuk menarik kehadiran pelancong asing berkenaan mengunjungi Malaysia,” katanya.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK), Datuk Kamaruddin Siaraf; Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan), Datuk Mohammed Mohd Daud; Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi), Dr Mohd Ali Mohamad Nor dan Timbalan Ketua Pengarah Operasi Kraftangan Malaysia, Mohd Kamil Mohd Ali.

Pelancong, Cristine Van Benjerlerveldt dari Belanda berkata, pameran ini satu perkara baru baginya kerana upacara serta adat yang digunakan berlainan sama sekali antara sesebuah kaum.

“Saya kagum dengan kemeriahan yang dilakukan bagi menjalankan upacara perkahwinan dan pastinya tidak dapat melihat suasana sedemikian di negara asal.

“Walaupun kali pertama datang ke Malaysia tapi saya terus jatuh cinta dengan rakyat, adat, budaya dan pastinya pelbagai makanan menarik yang boleh diperoleh di sini,” katanya.

Categories

0 comments:

 

LIFE.LAUGH.LOVE Copyright © 2009 Designed By Mesrani